BUKIT MERTAJAM – Satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan hadiah palsu melalui aplikasi Telegram berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Alma, semalam.
Operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang itu membawa kepada penahanan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 28 tahun serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun.
Jelas beliau, hasil soal siasat awal empat suspek tempatan itu mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak seminggu lalu dengan gaji tawaran gaji RM2,600 sebulan.
“Manakala dua warga asing itu pulak didapati mempunyai pasport dan memasuki negara ini pada 1 Mei lalu menggunakan pas lawatan sosial.
“Siasatan juga mendapati sindiket tersebut menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan hadiah palsu melalui aplikasi Telegram dan menyasarkan mangsa tempatan.
“Sindiket ini dikesan menggunakan kumpulan telegram dikenali sebagai ‘Malay Telegroup 875’ untuk mengumpul maklumat, sebelum menghubungi mangsa untuk menawarkan hadiah dan seterusnya meminta bayaran sebagai syarat penebusan hadiah tersebut,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, kesemua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran hadiah yang mencurigakan melalui platform media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang ditawarkan oleh individu yang tidak dikenali,” katanya. – MalaysiaGazette