Datuk Seri Rafizi Ramli ketika berucap dalam Jelajah Hiruk Zon Pahang yang diadakan di Mentakab, Temerloh malam ini.

KUANTAN – Datuk Seri Rafizi Ramli setuju mengadakan sesi debat dengan Nurul Izzah Anwar susulan pertembungan kedua-dua mereka dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu.

Menurut Rafizi, ia harus dilakukan bagi menjernihkan suasana dalam parti selain memberi ruang ahlinya dan rakyat secara keseluruhan untuk membuat penilaian masing-masing.

“Ada banyak wartawan bertanya sudi atau tidak berdebat (dengan Nurul Izzah). Saya dah berdebat dengan Khairy Jamaluddin (KJ), orang paling cerdik dalam Pas iaitu Ahli Parlimen Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman) pun saya dah debat.

“Jadi, kalau yang payah ini pun saya dah berdebat, saya ingat insya-Allah saya dengan Nurul Izzah boleh berdebat dianjurkan oleh satu penganjur bebas supaya kita boleh turunkan suhu (pemilihan parti),” katanya ketika berucap dalam Jelajah Hiruk Zon Pahang yang diadakan di Mentakab malam ini.

Tambah Menteri Ekonomi itu, pertembungan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, maka kedua-dua mereka seharusnya membentangkan pandangan dan hala tuju parti agar ia boleh menjernihkan suasana dan sekaligus tidak mencalarkan nama Presiden dan parti itu.

“Apa-apa kemungkinan pun kita perlu tanggung beban itu. Dan apa-apa keputusan pun, maka beban itu orang yang paling utama yang kena tanggung adalah Datuk Seri Anwar. Itu maksud saya.

“Kalau Nurul Izzah menang, orang kata nepotisme dan kata macam-macam. Kalau Nurul Izzah kalah, orang akan kata parti ini telah menolak Anwar Ibrahim.

“Sebab itu, saudara-saudari yang muda-muda dan nak bertanding, lain kali kalau sebelum membuat apa-apa langkah atau keputusan politik, fikir panjang. Setiap tindakan kita itu akan ada kesan,” katanya lagi.

Sebelum ini Rafizi dilaporkan berkata, tidak ada jalan lain melainkan perlu melepaskan jawatan disandangnya itu dan memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu.

Meskipun secara rasmi beliau sedang mempertahankan jawatan tersebut, katanya, kekalahan Nurul Izzah boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here