Ramasamy mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas 17 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah hampir RM860,000.

Tertuduh yang berusia 76 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 13, Ramasamy yang ketika itu Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) yang diberi amanah menjaga dana lembaga itu, didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta tanpa mendapat kelulusan mesyuarat LWHNPP.

Ia membabitkan pembayaran bagi membeli pedati emas berjumlah RM779,131.29 yang dibuat menerusi 13 cek dan pindahan telegraf.

Peguam, Shamser Singh Thind mewakili Ramasamy bagi kesemua pertuduhan.

Bagi pertuduhan 14 dan 15, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan bayaran perbelanjaan perubatan menerusi dua cek sebanyak RM50,000 dan RM15,000.

Untuk dua lagi pertuduhan, Ramasamy didakwa melakukan kesalahan sama, namun membabitkan pembayaran bagi bantuan kewangan pendidikan menerusi dua cek sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di Komplekas Tun Abdul Razak (Komtar) dan Perangin Mall di George Town antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Manakal tertuduh diwakili barisan peguam, Shamser Singh Thind, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.

Mahkamah kemudian membenarkan Ramasamy diikat jamin berjumlah RM78,000 beserta syarat tambahan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Kes akan disebut semula 16 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here