KUCHING – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara bahaya hingga menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru, awal tahun ini.
Remaja berkenaan turut mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kereta di bawah umur.
Remaja terbabit membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan dan mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mahkamah turut membenarkan remaja itu diikat jamin RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin.
Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan Seksyen 39(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan semasa berumur kurang daripada 16 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji manakala remaja itu tidak diwakili peguam.
Dalam kemalangan pada 14 Jan lepas, kereta dipandu remaja berkenaan telah hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan serta dua motosikal.
Akibat kemalangan itu, empat individu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, bapa remaja itu berusia 35 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuching Noraini Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh juga diarah menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan. – BERNAMA