KUANTAN – Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli merasmikan pelancaran tiga fasiliti kesihatan baharu di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) hari ini.
Tiga kemudahan yang dirasmikan ialah Unit Reproduktif (RUS), Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) serta Klinik Bergerak (Mobile Clinic) yang mampu memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya golongan berkeluarga, kanak-kanak, masyarakat setempat serta komuniti luar bandar.
Baginda turut berkenan berangkat untuk melawat ke Unit Reproduktif dan PICU bagi menyempurnakan upacara menandatangani plak rasmi pelancaran tersebut seterusnya menyaksikan simbolik penyerahan kunci kenderaan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kepada pihak SASMEC @IIUM.
“RUS dan PICU merupakan projek yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Ketiga (RMK12 RP3) dan telah siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2024.
“Kedua-dua unit ini kini telah beroperasi dan mula menerima pesakit, menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam bidang kesihatan reproduktif serta rawatan rapi kanak-kanak kepada masyarakat,” katanya.
Pada majlis yang sama, turut dilancarkan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan menyeluruh kepada komuniti luar bandar.
Mobile Clinic merupakan tiga buah kenderaan perubatan baharu iaitu sebuah ambulans, sebuah bas mini dan sebuah trak yang siap diubah suai dengan kerusi dan fasiliti khas bagi kemudahan saringan kesihatan am.
Ia akan digunakan untuk memperkukuh operasi klinik bergerak dan memperluaskan capaian perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman dan komuniti terpencil.
Pelancaran kemudahan itu selari dengan komitmen SASMEC @IIUM untuk menyediakan rawatan komprehensif dan inklusif berlandaskan Syariah serta menyokong keperluan pendidikan dan penyelidikan klinikal di universiti.
Inisiatif terbaharu itu dapat meneruskan legasi pencapaian SASMEC @IIUM yang sebelum ini mencipta sejarah menerusi pelancaran Pusat Susu Bonda Halimatussaadia pada tahun 2022, pusat susu ibu patuh syariah pertama diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.
Pusat itu kini telah menjadi penanda aras utama kepada pengurusan bank susu berdasarkan prinsip maqasid syariah di Malaysia menerusi kenyataan oleh pihak Universiti Islam Antarabangsa hari ini.
Turut berangkat bersama Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohamed Moiz.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud, isteri Menteri Besar Pahang dan Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), Datin Seri Datuk Burhah Mohammed.
Selain itu Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan Pengarah Hospital SASMEC @IIUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Saufi Awang. – MalaysiaGazette