KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) mengambil langkah proaktif dalam membentuk generasi muda yang celik kewangan menerusi penganjuran program “Dilema
Kewangan dan Budaya Berhutang di Usia Muda” yang berlangsung hari ini dengan penglibatan seramai 200 orang pelajar Tingkatan Enam di negeri Terengganu.
Program yang diketuai Pensyarah Kewangan FPEPS, Dr. Siti Nurain Muhmad memfokuskan isu keberhutangan dalam kalangan belia bawah usia 30 tahun yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, statistik terkini menunjukkan peningkatan jumlah individu muda yang berhutang dengan nilai hutang yang tinggi, manakala tahap kesedaran kewangan di negara ini masih rendah iaitu sekitar 32 peratus berbanding purata global 42 peratus (OECD).
“Fenomena ini didorong oleh gaya hidup konsumtif yang didambakan generasi muda masa kini seperti dipengaruhi oleh media sosial dan budaya fear of missing out (FOMO) yang
mendorong kepada pembelian barangan demi penampilan atau status sosial,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, situasi bertambah kritikal apabila rata-rata platform e-dagang yang kini turut menawarkan kemudahan seperti ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) menjadi penyumbang utama belia mudah terperangkap dalam kitaran hutang seakan penggunaan kad kredit.
Tambahnya, pihak universiti mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik golongan belia agar mempunyai kesedaran dan literasi kewangan yang baik.
“Peranan institusi seperti universiti amat penting dalam menyediakan pendedahan dan pemahaman kepada generasi muda mengenai pengurusan kewangan. Kesedaran ini bukan
sahaja dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam risiko keberhutangan yang kronik tetapi juga mampu meningkatkan kualiti hidup serta indeks kebahagiaan mereka
dalam jangka panjang,” ujarnya ketika sesi pembukaan program tersebut.
Penganjuran program itu turut membuka peluang kepada peserta untuk melawat UMT-CGS East Coast Trading Centre dan mempelajari asas berkaitan aktiviti pelaburan saham.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan awal tentang realiti dunia kewangan dan pelaburan, tetapi juga berfungsi sebagai usaha membina jaringan antara universiti dan
pelajar prauniversiti untuk peluang pengajian lanjutan,” katanya.
Penganjuran itu juga sejajar dengan aspirasi UMT dalam memainkan peranan aktif memperkasa masyarakat melalui pendidikan kewangan yang inklusif dan menyeluruh terutama di peringkat remaja dan belia. – MalaysiaGazette