Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 64 warganegara asing telah dihalang dari memasuki Malaysia dan akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing hasil satu operasi pemantauan berkala oleh Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 57 lelaki dewasa warga Bangladesh, lima lelaki India, dan dua lelaki Pakistan.

Dalam operasi tersebut, pemeriksaan rambang telah dilakukan ke atas 330 warganegara asing dari pelbagai negara, kata AKPS.

“Tumpuan diberikan kepada individu yang berkelakuan mencurigakan dan berlegar-legar di sekitar balai ketibaan tanpa terus ke kaunter pemeriksaan imigresen.

“Hasil siasatan lanjut di Pejabat Operasi mendapati kesemua 64 individu tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beberapa daripada mereka turut dikesan menggunakan taktik penipuan bagi mengaburi pihak berkuasa, termasuklah penggunaan dokumen palsu seperti tempahan hotel yang tidak sah serta tiket penerbangan pulang yang tidak wujud atau direka.

Pemantauan ini dilaksanakan selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), arahan pentadbiran, dan semasa bagi memastikan keselamatan serta kawalan sempadan berada pada tahap tertinggi.

AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh usaha dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang unsur pencerobohan, penipuan mahupun ancaman lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here