KUALA LUMPUR – Bekas penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali tampil menjelaskan tindakannya bakal menjual trofi penjaring terbanyak Piala AFF 2010 yang dimenanginya 15 tahun lalu.
Safee, 41, berkata, dia mahu menjual trofi kerana sudah menyimpannya sebagai tanda mencapai apa yang dinginkan selama ini sebagai pemain bola sepak.
Justeru, dia kini mahu menyerahkan kenangan itu kepada peminat pula.
“Sudah tiba masanya untuk melepaskan barang yang mempunyai nilai sentimental bagi saya. Saya tidak akan selamanya berada di dunia ini.
“Saya sudah mencapai dan menjadi apa yang saya inginkan sejak kecil. Kini, adalah masa untuk anda menyimpan semua ini untuk koleksi dan kenangan anda.
“Seperti gajah yang meninggalkan tulang dan harimau yang meninggalkan belang, manusia meninggalkan legasi dalam bentuk nama yang di kenang,” tulisnya di Instagram di sini.
Namun netizen dan penyokong menyarankan Safee untuk menyimpan trofi tersebut sebagai kenangan
Sepanjang kariernya, dia berkhidmat termasuk Kuala Lumpur (KL) City, Selangor, PKNS, PJ City, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pelita Jaya (Indonesia).
Dia membantu Harimau Malaya memenangi kejuaraan tunggal di Piala AFF pada tahun 2010 dan turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada edisi itu selepas meledak lima gol. – MalaysiaGazette