KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan perubahan baharu dalam struktur kejurulatihan skuad wanita kebangsaan apabila melantik Joel Cornelli sebagai pengendali baharu.
Cornelli yang berasal dari Brazil menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini menjadi pengarah teknikal bagi bola sepak wanita.
Kehadiran Cornelli merupakan salah satu daripada tindakan strategik FAM untuk meningkatkan kualiti bola sepak wanita di negara ini dengan dia mempunyai pengalaman dua dekad di tahap profesional.
Pelantikan ini merupakan langkah strategik FAM dalam memperkukuh struktur kejurulatihan skuad bola sepak wanita kebangsaan seiring dengan visi untuk melonjakkan prestasi skuad wanita negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Joel memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan bola sepak, termasuk penglibatan dengan beberapa kelab profesional serta program pembangunan di Amerika Selatan, Asia dan Asia Tenggara,” kata FAM dalam satu kenyataan di sini.
Cornelli sudah pun memanggil 27 pemain untuk kem latihan pusat Malayan Tigress menjelang kejohanan Tri Nation di Bhutan.
Mereka bakal berdepan Bhutan dan Hong Kong pada kejohanan tersebut. – MalaysiaGazette