GEORGE TOWN – Seorang penyelidik tempatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraih pengiktirafan antarabangsa selepas menemui kaedah inovatif dalam rawatan kanser lidah, yang dibentangkan pada pertemuan European Society for Radiotherapy and Oncology (ESTRO) 2025 di Vienna, baru-baru ini.
USM berkata, Profesor Madya Dr. Gokula Kumar Appalanaido bersama pasukannya telah dianugerahkan Sijil Abstrak Pencapaian Tinggi, yang mengiktiraf kajian mereka sebagai antara lima peratus terbaik di peringkat antarabangsa.
“Pasukan itu telah melakukan penerokaan dalam abstrak kertas pembentangan bertajuk ‘Hybrid HDRIBT followed by IMRT (HyBIRT) technique for the definitive treatment of oral tongue SCC (OTSCC) – first in human prospective study’.
“Pendekatan HyBIRT adalah kaedah penemuan baharu dalam rawatan organ dan mengekalkan fungsi bagi kanser lidah yang mencerminkan kemajuan klinikal yang signifikan dalam pengaplikasian rawatan brakiterapi dan radioterapi.

“Ia telah dibangunkan, dilaksanakan dan pada masa ini dikenali dan diiktiraf serata dunia yang bermula di Malaysia,” katanya hari ini.
Penemuan dan membangunkan HyBIRT itu dijalankan oleh pasukan yang diketuai Gokula Kumar di Pusat Perubatan USM Bertam, Kepala Batas dekat sini.
Antara ahli lain yang terlibat termasuklah pakar bedah telinga hidung dan tekak (ENT), Profesor Madya Dr. Yusri Musa, Dr Ahmad Fakrurrozi Mohamad (pakar bedah mulut dan maksilofasial, OMF), Dr Jasmin Jalil (pakar onkologi klinikal) dan Profesor Madya Dr Mohd Zahri Abdul Aziz (pakar fizik perubatan).
Tambah kenyataan itu, pengiktirafan itu turut memperlihatkan USM mendahului bidang penyelidikan dan rawatan lanjutan berkaitan kanser, terutamanya dalam bidang brakiterapi.
“USM merupakan antara beberapa institusi di dunia yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Kecemerlangan berprestij bagi rawatan brakiterapi kanser kepala dan leher oleh sebuah organisasi saintifik yang berpengkalan di Belanda, BrachyAcademy,” katanya. – MalaysiaGazette