KUALA LUMPUR – Sebuah rumah dan kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Musa, Kampung Baru, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.15 pagi melalui sistem MERS999, sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, sepasukan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dengan bantuan BBP Sentul dan BBP Jalan Tun Razak telah digerakkan bersama jentera FRT, LFRT dan FRV.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 7.22 pagi, didapati struktur separa kekal melibatkan kedai bersaiz 30×80 kaki persegi terbakar sepenuhnya.
“Manakala sebuah rumah seluas 40×50 kaki persegi terbakar sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, sebuah motosikal jenis Vespa turut musnah dalam kebakara yang sama.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.41 pagi dan dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian, iaitu pada 8.38 pagi.
Walau bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette