KUALA LUMPUR – Hampir 9,000 ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad melahirkan rasa kesal kerana wang hasil jualan saham yang dibuat sejak November tahun lalu didakwa masih belum diterima mereka.
Jurucakapnya, Rusnizam Mahat berkata, ada ahli dalam kalangan warga emas yang membuat pelaburan bernilai ratusan ribu ringgi masih tidak mendapat hasil jualan saham meskipun terpaksa menunggu lebih 20 bulan.
“Sebahagian besar kami masih belum menerima bayaran jualan saham walaupun permohonan penebusan syer telah dibuat dua bulan lalu, dan ada yang menunggu lebih 20 bulan.
“Jumlah pelaburan warga emas dalam koperasi ini bukan kecil, malah ada yang mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap individu.
“Lebih menyedihkan terhadap ahli yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menerima wang jualan saham mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris mengakui pihaknya kini dalam proses menjual beberapa aset dan menyusun semula pelaburan dalam usaha menstabilkan aliran tunai dan menyelesaikan tunggakan permohonan pengeluaran saham oleh ahli.
Mohd Banuri berkata, ia merupakan sebahagian Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan melibatkan tiga strategi utama termasuk penjualan aset perladangan dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah tidak lagi menguntungkan dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
Rusnizam juga mendakwa, sebelum ini KPF sebelum memberi jaminan permohonan dengan dokumen sokongan dengan tujuan menunaikan haji dan penghidap penyakit kritikal akan diberi keutamaan.
“Namun ahli yang sakit masih belum dapat bayaran penuh dan mereka yang bersiap untuk mengerjakan haji masih belum menerima bayaran walaupun dokumen lengkap telah diserahkan.
“Kami bagaikan pengemis dan terpaksa merayu serta menuntut wang jualan saham kami walaupun pelbagai jaminan diberikan oleh pihak pengurusan KPF.
“Malah Pengerusi Felda, Datuk Seri Shabery Cheek pernah berjanji isu ini akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, namun janji tinggal janji. Ia menimbulkan tahap ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Sehubungan itu, Rusnizam menuntut KPF memberikan penjelasan rasmi secara bertulis berhubung kegagalannya serta menerbitkan jadual bayaran telus dan terbuka kepada semua ahli koperasi yang terkesan.
“Siasatan audit terhadap kewangan dan aliran tunai KPF kemungkinan salah urus dapat dielakkan.
“Tindakan pemantauan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terhadap kelemahan pengurusan KPF yang menjejaskan kepentingan ahli.
“KPF wajib mengembalikan semula keyakinan ahli melalui tindakan segera, bukannya kenyataan berulang-ulang tanpa pelaksanaan.
“Sekadar memohon bersabar bukan lagi satu jawapan yang boleh diterima kerana lebih setahun kami menunggu,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan lebih ramai lagi ahli KPF untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengemukakan laporan rasmi kepada SKM.
“Malah kami bercadang untuk membawa isu ini ke Parlimen dan mengadakan piket besar-besaran melibatkan ahli KPF yang terkesan sekiranya tiada jalan penyelesaian.
“Masalah bayaran jualan itu kerana aliran tunai dan kita pun telah beberapa kali membuat pertemuan dengan pihak KPF tapi hasilnya masih sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette