Pengasas perkhidmatan premium Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan atas pertuduhan menipu mengenai kontrak kawalan keselamatan membabitkan kerugian berjumlah RM300,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 16 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail daripada sabitan menipu melibatkan kontrak kawalan keselamatan bernilai RM300,000 yang didakwa berlaku pada tahun 2019.

Hakim K. Muniandy yang menyampaikan keputusan itu memutuskan terdapat kekhilafan serius dalam dapatan fakta dan penggunaan prinsip undang-undang oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah kegagalan mahkamah lebih rendah mengambil kira kewujudan tender kontrak yang menjadi asas kepada pertuduhan.

“Bukti menunjukkan tender tersebut memang wujud, namun tidak dibuka oleh pemilik tender, satu keadaan di luar kawalan perayu. Ini menafikan elemen niat jenayah yang wajib dibuktikan untuk sabitan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Muniandy.

Beliau juga menyatakan pertuduhan asal mempunyai kecacatan ketara kerana tidak menjelaskan dengan jelas niat jahat tertuduh dalam dokumen pertuduhan, sekali gus menjejaskan keabsahan kes terhadap Shamsubahrin.

Maka, berdasarkan kekurangan bukti yang menyokong sabitan dan kecacatan dari sudut prinsip undang-undang, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Shamsubahrin dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atasnya pada 20 September 2023.

Prosiding rayuan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, manakala Shamsubahrin diwakili oleh peguam Zulkifli Awang.

Kes yang mula dibicarakan sejak November 2022 itu menyaksikan lima saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk Shamsubahrin sendiri tampil memberi keterangan.

Sebelum ini Shamsubahrin didakwa menipu seorang individu bernama Izham Ramli, kononnya beliau mampu mendapatkan kontrak keselamatan di KLCC dalam tempoh 30 hari dakwaan yang akhirnya didapati tidak berlandaskan bukti kukuh mahkamah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here