BUTTERWORTH – Seorang nelayan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak saudaranya berusia tiga tahun menggunakan rotan pada minggu lalu.
Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Daim Salleh, 34, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan tertuduh yang masih bujang itu didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pulau Mertajam, Penaga di sini pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli mohon hukuman setimpal susulan memukul kanak-kanak kecil.
Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda minima atas alasan tertuduh bekerja sebagai nelayan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara ibunya.
ARTIKEL BERKAITAN:
MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, nelayan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera anak saudaranya berusia tiga tahun pada Jumaat lalu.
Tangkapan ke atas suspek dibuat selepas bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada Jumaat lalu di Kepala Batas dekat sini susulan mendapati abang iparnya memukul anaknya menggunakan sebatang kayu kecil tanpa sebab munasabah.
Kejadian itu berlaku ketika pengadu yang juga seorang kelindan lori membuat panggilan video untuk bercakap dengan mangsa yang tinggal bersama bekas isterinya.
Difahamkan, suspek dipercayai kerap memukul mangsa dengan alasan kononnya kanak-kanak itu sering menangis. – MalaysiaGazette