Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan di Double Tree by Hilton i-City Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 16 MEI 2025.

SHAH ALAM – Projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan dilengkapi dengan sistem mitigasi banjir bawah tanah yang canggih dan berautomasi sepenuhnya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kemudahan mitigasi tersebut termasuk pembinaan kolam takungan seluas empat hektar bagi bertujuan mengurus air ribut dan mengurangkan banjir di kawasan paling terdedah di Shah Alam.

“Integrasi Taman KSSA dalam pelan mitigasi banjir Seksyen 13 Shah Alam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor merupakan elemen strategik utama dalam pengurusan air ribut, pemulihan ekologi, penjanaan semula bandar, dan amalan air lestari,” titahnya di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan KSSA di sini, hari ini.

Titahnya, inisiatif tersebut merangkumi penambahbaikan tebing Sungai Damansara dan pembinaan kolam takungan terbuka di tapak untuk menyimpan air sementara semasa hujan lebat dan limpahan sungai.

“Dengan memperlahankan pelepasan air kembali ke alam sekitar, sistem ini akan mengurangkan risiko banjir secara ketara,” tambah baginda.

Sementara itu, Tengku Amir Shah bertitah, visi mengubah Selangor kepada bandar raya metropolis yang dinamik dan moden hanya boleh direalisasikan menerusi sokongan penuh semua pihak.

Sehubungan itu katanya, kerjasama antara kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)  atau MBI Selangor dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) amat penting dalam merealisasikan pembangunan kompleks stadium itu.

“Menerusi hubungan rapat beta dan Datuk Seri Amirudin, kami komited bekerjasama  mengubah Selangor menjadi metropolis dinamik dan moden dengan kemudahan bertaraf tinggi, infrastruktur terkini dan komitmen kukuh terhadap pembangunan lestari.

Dalam pada itu, Tengku Amir Shah menyatakan kesediaan memberi sokongan penuh kepada semua pihak untuk memastikan visi pembinaan KSSA  tercapai dan diteruskan untuk manfaat generasi akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here