KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka terkesan oleh peningkatan ketegangan perdagangan dan ketidakpastian dasar yang ketara.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffou berkata, perkembangan yang pantas berubah berhubung dengan tarif perdagangan dijangka mempengaruhi prospek global sepanjang tahun ini.
“Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan secara langsung atau tidak langsung oleh tarif ini.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka rendah sedikit berbanding dengan unjuran awal antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025.
“Ketidakpastian yang tinggi berhubung dengan keputusan rundingan perdagangan dan cara perdagangan global akan berubah susulan keputusan tersebut menyukarkan penilaian mengenai kesan yang sebenar terhadap pertumbuhan pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, jukat unjuran pertumbuhan ekonomi rasmi yang baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja faktor-faktor ini menjadi lebih jelas.
Meskipun terdapat risiko luaran katanya, pertumbuhan akan terus berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan di mana keadaan itu memberikan penampan yang kukuh terhadap rintangan luaran.
“Perbelanjaan isi rumah dijangka terus meningkat, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam, pelaksanaan berterusan pelaburan yang diluluskan dengan bahagian lebih besar oleh peserta dalam negeri dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.
“Selain itu, permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik yang berterusan, seiring dengan pendapatan daripada pelancongan yang lebih tinggi juga akan menampung pertumbuhan,” katanya.
Abdul Rasheed turut memberitahu,prospek inflasi kekal bergantung pada keadaan global yang berubah-ubah dan langkah-langkah dasar dalam negeri
Pada tahun ini katanya, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal dalam julat sederhana iaitu antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus didorong oleh kos global yang terus menurun dan permintaan yang tidak berlebihan.
“Sama seperti prospek ekonomi, sebarang perubahan pada unjuran inflasi akan dikeluarkan sebaik sahaja keadaan perkembangan luaran menjadi lebih jelas.
“Harga komoditi global dijangka lebih rendah, lantas menyumbang kepada tekanan inflasi menurun
selanjutnya.
“Beberapa dasar berkaitan gaji yang baru diperkenalkan akan menyokong permintaan walaupun kesan terhadap inflasi dijangka terhad.
“Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dijangka terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette