KUALA LUMPUR – Seorang nelayan maut selepas dipercayai dipanah petir ketika berada di atas bot di perairan Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, Kangar, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Baeyah Abdul Wahab berkata, mangsa, Muhammad Faiez Othman, 28 dan seorang awak-awak sedang dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang selepas keluar memukat udang di perairan berhampiran.
Pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada abang mangsa pada pukul 11.50 malam.
“Siasatan awal mendapati mereka keluar ke laut kira-kira jam 7 malam dari jeti LKIM Kuala Sanglang menuju ke persisiran Pantai Kuala Sungai Padang.
“Namun ketika dalam perjalanan pulang, berlaku hujan lebat dan kilat di sekitar kawasan kejadian sebelum mangsa tiba-tiba rebah di atas bot dipercayai dipanah petir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Sanglang sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di jabatan kecemasan hospital berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri dan kesan melecur di paha kanan, dipercayai akibat panahan petir, ujarnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette
















