KUALA LUMPUR – Dua lelaki berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM150,000 akibat menjadi mangsa penipuan pelaburan kiosk dobi layan diri yang tidak wujud.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, konsep program pelaburan yang ditawarkan adalah para peserta akan diberikan pilihan kiosk dobi layan diri yang mana bersesuaian dengan pilihan para peserta.
Menurut beliau, syarikat berkenaan telah menjanjikan dan membuat penawaran bahawa segala proses pemasangan, penyelenggaraan dan pengiklanan kiosk dobi layan diri tersebut.
“Mereka diyakinkan dengan pelbagai janji manis oleh wakil syarikat terbabit, termasuk lokasi strategik, penyelenggaraan percuma serta jaminan pulangan keuntungan bulanan.
“Syarikat itu juga menggunakan naratif memperkasa ekonomi Bumiputera untuk meyakinkan mangsa, sekali gus menjadikan sentimen kaum sebagai umpan pelaburan.
“Lebih mendukacitakan, pinjaman peribadi yang diambil oleh mangsa turut diuruskan oleh pihak syarikat melalui satu pakej lengkap daripada urusan pinjaman bank sehinggalah kepada penyediaan tempat dan operasi dobi,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat MHO di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, mangsa mula menyedari ditipu setelah mendapati tiada sebarang operasi dobi dijalankan, manakala lokasi yang dijanjikan tidak pernah dipersetujui oleh pihak pengurusan kondominium seperti yang didakwa syarikat.
“Walapun laporan polis telah dibuat, hanya satu kes dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala satu lagi diklasifikasi sebagai ‘No Further Action’ (NFA).
“MHO mendesak pihak berkuasa menyiasat semula kes berkenaan dan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket pelaburan palsu yang dilihat semakin berleluasa,” katanya.
Sementara itu, menurut Suffian, 39 dia mula mengetahui tentang pelaburan berkenaan ketika dia mengunjungi reruai di pusat beli belah di Setiawangsa dan mendaftar pada Disember 2023.

“Mereka beri pilihan lokasi, namun selepas berbulan-bulan, tiada sebarang perkembangan.
“Paling mengecewakan, lokasi yang mereka janji pun sebenarnya tak pernah dapat kelulusan daripada pihak pengurusan kondominium,” katanya yang melabur lebih RM80,000 dalam pelaburan itu.
Tambahnya, segala urusan pinjaman peribadi turut diuruskan oleh pihak syarikat termasuk pinjaman atas nama isterinya, membuatkan beban kewangan berganda perlu ditanggung setiap bulan.
Menurut mangsa kedua yang mahu dikenali Ahmad, 34, dia juga mula mengenali syarikat itu dengan mengunjungi reruai di sebuah pusat beli-belah di Puchong pada 2020, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, selepas lawatan ke pejabat syarikat dan ditunjukkan mesin dobi yang kononnya berfungsi, beliau bersetuju melabur dan membuat pinjaman bank melalui ejen-ejen yang telah disediakan.
“Lokasi asal saya pilih di Bukit Jalil, tapi selepas beberapa bulan, mereka kata lokasi itu dah diambil orang lain dan lokasi kemudian diubah.
“Bila tanya perkembangan, alasan demi alasan diberi. Akhirnya, hanya gambar pekerja ukur tapak yang dihantar, sedangkan saya sudah bayar hampir 80 peratus,” ujarnya yang membuat pelaburan lebih RM70,000. – MalaysiaGazette