Onn Hafiz (depan kiri) dan  Mohd Hairi (dua kanan) bersama penerima insentif khemah di tapak Pasar Malam Jalan Kemuliaan, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seramai 644 usahawan telah menerima manfaat program BRJohor Niaga dengan jumlah pembiayaan RM43.2 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, program itu masih mempunyai baki pembiayaan RM53.1 juta dan permohonan tersebut akan ditutup pada Mac tahun depan.

“Bagi program BRJohor Niaga, usahawan mikro, layak memohon pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah akan ditanggung 100 peratus oleh kerajaan negeri.

“Bagi pembiayaan untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) pula, ia bermula RM50,001 hingga RM500,000 dengan kadar faedah yang ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak 3.58 peratus dan selebihnya ditanggung oleh peminjam,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Insentif Khemah Kepada Usahawan Mikro Johor Bahru di Pasar Malam Jalan Kemuliaan, Taman Universiti, di sini, malam tadi.

Majlis pelancaran tersebut yang dilancarkan serentak di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Seramai 6,000 usahawan mikro di negeri ini menerima khemah tersebut yang keseluruhannya berjumlah RM3 juta, pada tahun ini.

Mohd Hairi memberitahu, Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) telah menjalankan 91 inisiatif melibatkan peruntukkan RM69.72 juta yang memanfaatkan 6,777 penerima, sehingga 31 Mac lalu.

“Dalam masa sama, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) turut membelanjakan RM4 juta merangkumi pelbagai inisiatif dalam membangunkan ekosistem keusahawanan di negeri ini.

“Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan pembungkusan produk, bantuan mengiklankan produk usahawan Johor di siaran televisyen, bantuan mempromosi produk usahawan Johor ke luar negara, latihan dan kursus keusahawanan serta program mentor-mentee usahawan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast