Muhammad Kamil Abdul Munim

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK)  kecewa apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa menyerang calon Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung pemilihan parti itu.

Menerusi satu kenyataan bersama dikeluarkan sekumpulan pemimpin AMK, mereka menegaskan Ahli Parlimen Pandan itu tidak sewajarnya masuk campur dalam pemilihan sayap berkenaan.

“Kenyataan bersama ini menyatakan kekecewaan atas tindakan Rafizi yang dilihat menyerang saudara Kamil Munim dengan tohmahan yang negatif dan menjatuhkan selain acapkali meremeh dan memandang enteng usaha AMK yang kini giat dipersiapkan untuk membina pasukan baru dengan adil, telus dan terbuka.

“Rafizi sewajarnya terus menyatakan hasrat, visi dan misi beliau dalam mencalonkan diri sebagai Timbalan Presiden PKR tanpa menjatuhkan mana-mana pihak apatah lagi pasukan AMK yang kini sedang membina naik bersama,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan 56 calon bertanding di pelbagai jawatan dalam AMK bagi menjawab Rafizi dalam siri kempennya yang mendakwa Pemilihan PKR sepatutnya berlangsung tahun depan namun ada gesaan beberapa pemimpin termasuk Kamil Munim memaksa ia diadakan tahun ini.

Mengulas lanjut, mereka berkata, AMK sudah pun mengamalkan langkah keterbukaan dan tertib kerukunan susunan pemilihan yang berlangsung sehingga ke hari ini.

“Di peringkat AMK, seramai 86 calon yang sudah memasuki gelanggang ini dari jawatan Ketua, Timbalan, Naib dan Majlis Pimpinan AMK Pusat.

“Gerakan kempen baik yang berpasukan mahupun dari calon-calon sendiri berlangsung dan bergerak dari negeri ke negeri.

“Sambutan yang amat baik di setiap AMK negeri tanpa mengira pasukan atau cai sudah berjaya ditonjolkan. AMK juga dalam siri kempen yang berlangsung tidak pernah membabitkan mahupun mencela atau mengheret mana-mana individu dalam nada negatif,” katanya.

Pun begitu, katanya, kekecewaan jelas apabila pimpinan dan calon di peringkat AMK itu diheret dalam kancah kempen di peringkat pusat seperti yang berlaku dalam siri kempen calon Timbalan Presiden PKR.

“AMK amat memandang tinggi dan menghormati mana-mana pimpinan senior yang menyatakan hasrat bertanding bagi mana-mana jawatan di peringkat Pusat.

“Meskipun di peringkat calon AMK sendiri dapat dilihat kecenderungan sokongan calon-calon itu di peringkat pusat namun ini tidak dijadikan alat untuk berkempen dan menjatuhkan mana-mana calon AMK,” katanya.

Justeru, katanya AMK tegas dengan pendirian keterbukaan dan konsep ‘Kita Semua Keadilan’ dan ini akan dipastikan termeterai sehingga tamat Pemilihan PKR 2025 dan usaha ini akan dibuktikan kelak dalam program Rapat Angkatan Muda Keadilan 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here