Gambar lama penulis (kanan) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SAYA menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi pada tahun 2013 namun perjuangan saya bermula lebih awal, sejak tahun 1998 bersama gelombang Otai Reformasi.

Saya percaya kepada perjuangan rakyat, keadilan sosial dan suara akar umbi — nadi sebenar kekuatan parti ini.

Namun hari ini, selepas PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan, kami yang berada di peringkat bawah semakin merasai satu hakikat yang pahit: PKR seolah-olah telah melupakan pejuang sebenar di belakang tabir kemenangan mereka.

Ramai ahli yang dahulunya bertungkus-lumus — memanjat pokok, menaiki tiang lampu untuk menggantung bendera PKR dan calon PH, membakar tenaga dan wang sendiri demi kemenangan — kini langsung tidak dipedulikan.

Kami bukan mengharapkan imbuhan besar tetapi cukup sekadar pengiktirafan dan peluang untuk menyumbang semula dalam bentuk lain.

Saya sendiri telah banyak kali menghubungi pegawai-pegawai khas kepada menteri-menteri PKR — dengan harapan untuk menyampaikan pandangan akar umbi — namun amat mengecewakan apabila tiada temujanji diberikan, mesej tidak berbalas, dan layanan yang kami terima umpama “kucing kurap”.

Sebilangan pegawai khas ini pula kini sudah sibuk dengan perniagaan masing-masing seolah-olah melupakan asas perjuangan ketika parti ini belum berkuasa.

Apakah ini bayaran kepada kesetiaan kami? Apakah pengorbanan dahulu hanya menjadi kenangan kosong?

Saya menyeru dengan penuh rendah diri tetapi tegas — kembalilah kepada akar perjuangan. Kembalilah kepada rakyat. Jangan biarkan PKR menjadi parti elit yang hanya menjaga kepentingan sendiri selepas berkuasa. Jangan biarkan pengorbanan ahli lama dipandang sepi.

Reformasi belum selesai. Jangan lupakan siapa yang memacak bendera saat kamu belum punyai nama.

Ayob Abd Majid
Bukit Indah Ampang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here