Exco Armada Bersatu Nasional, Harris Idaham Rashid

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar tidak terlalu selesa dengan mandat yang diperoleh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 2021.

Ketua Penerangan Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, landskap politik telah banyak berubah khususnya dengan impak kemasukan undi 18 tahun dan pendaftaran automatik yang belum dikuatkuasakan pada 2021.

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 telah menunjukan Perikatan Nasional (PN) telah bangkit semula di Melaka dengan memenangi beberapa kerusi Parlimen penting yang sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO seperti Parlimen Jasin di mana Akmal sendiri merupakan Ketua Bahagian UMNO kawasan itu.

“Rakyat Melaka sudah muak dengan polemik terbuka di antara Akmal dan beberapa pemimpin PH bergaduh berkenaan agihan kerusi DUN yang berlaku baru-baru ini.

“Rakyat mahu pemimpin yang bukan hanya mempertikai dan cari gaduh. Rakyat mahu   pemimpin yang mencari solusi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Harris Idaham lagi, PN adalah sebuah gabungan yang harmoni yang dinaungi dibawah satu payung dan bukan gabungan campuran seperti PH+BN.

Katanya, kestabilan politik yang didambakan oleh rakyat Melaka dapat dipenuhi oleh PN yang tidak akan mencabar rakan-rakan komponen untuk sama-sama berlawan di kerusi tertentu seperti yang dicabar oleh Akmal baru-baru ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, Muhammad Akmal dipetik berkata, Bersatu perlu membuktikan mereka mempunyai pemimpin ‘Yang Berkhidmat’ dan tidak hanya timbul pada musim pilihan raya jika mahu menang lebih banyak kerusi.

Mengulas ‘cita-cita’ disuarakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, rakyat negeri itu menuntut kehadiran pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat sepanjang masa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here