KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan untuk merujuk syor hukuman Pengarah Negeri Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan kepada pihak berkuasa tatatertib AADK.
Terdahulu, EAIC memaklumkan, pihaknya menerima aduan terhadap Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan yang dikatakan telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang.
Sedangkan, kata beliau, aduan yang diterima daripada pengadu berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku adalah pada waktu malam.
Tambahnya, operasi serbuan ke atas kelab malam tersebut juga dikatakan dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Ibu Pejabat AADK.
“Siasatan mendapati Pengarah Negeri telah gagal memberi arahan yang tepat kepada pegawai AADK serta telah ingkar Perintah kerana tidak mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Penguatkuasaan: Operasi Tempat Hiburan.
“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman Pengarah Negeri, AADK Negeri Sembilan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette