KEPALA BATAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian di Kota Aur dekat sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Aidil Firash Khairul Azman, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati mangsa dibawa naik oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Terdahulu kita menerima panggilan kecemasan pada jam 7.24 malam dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dikejarkan ke lokasi sejauh enam kilometer.
“Seramai lapan anggota termasuk penyelia digerakkan ke lokasi dengan kekuatan satu jentera jenis LFRT dan sebuah FRV,” katanya hari ini.
Difahamkan, mangsa pergi ke lokasi berkenaan bersama rakan-rakannya.
Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.37 malam dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette