KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan akan direman esok di Mahkamah Majistret Ampang Jaya selepas disyaki merosakkan rumah ibadat agama Hindu di Taman Sri Ampang dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 33 tahun dibuat selepas laporan diterima berhubung kejadian itu daripada setiusaha kuil terbabit.
“Pengadu berusia 34 tahun telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbitnya sekitar pukul 6 pagi tadi memaparkan seorang lelaki telah memasuki kuil itu.
“Kemudian sekitar pukul 8.30 pagi, suspek didapati telah masuk semula ke kuil itu dengan membawa tukul besi, pemotong besi, sebilah keris serta memecahkan tempat sembahyang.
“Susulan itu, pengadu bergegas ke kuil sebelum dihalau oleh suspek dengan mengacukan parang dan mengugut untuk memotong kepala lelaki itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah ke lokasi dan suspek yang juga penganggur ditahan pukul 8.38 pagi.
“Semakan awal mendapati kes terbabit tiada kaitan dengan ekstremis dan suspek dipercayai berkhayal ketika kejadian serta mendakwa terdengar bisikan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selain merampas sebatang tukul besi, pemotong besi, dua bilah parang, keris dan sebuah motosikal LC135,” jelasnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 296 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – MalaysiaGazette