ISKANDAR PUTERI – Selisih faham dengan keluarga menjadi punca seorang remaja tidak pulang ke rumah di Bukit Indah, di sini, Jumaat lalu selepas pulang dari sekolah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, semasa ‘hilang’ dari rumah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah itu berada di rumah rakannya di taman itu.
“Pelajar berkenaan, Nur Iman Iskandar Abdullah yang berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas sesi persekolahan tamat pada Jumaat.
“Namun keluarganya sudah menemui Nur Iman Iskandar ditemui dalam keadaan selamat pukul 9.30 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati remaja itu hilang selepas berlaku selisih faham dengan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan remaja itu disedari hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah selepas sesi persekolahan, Jumaat lalu.
Laporan kehilangan pelajar lelaki tingkatan tiga itu dilaporkan bapanya berumur 36 tahun pukul 4 petang pada hari sama di Balai Polis Taman Bukit Indah. – MalaysiaGazette