Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diiringi pegawai penjara hadir bagi bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengemukakan permohonan untuk memasukkan laporan polis yang dibuat oleh ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf dalam rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun memaklumkan, laporan polis Ismanira yang dibuat di Balai Polis Saujana Utama pada 25 Julai tahun lalu, akan dikemukakan sebagai bukti baharu dalam rayuan akhirnya kelak.

Ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf (tengah) tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 05 FEBUARI 2025.(GAMBAR FAIL)

Dalam notis usul yang difailkan pada 7 Mei lalu, Siti
Bainun turut memohon kebenaran untuk memanggil Ismanira memberi keterangan lanjut berhubung laporan polis itu untuk dipertimbangkan sebagai keterangan baharu.

Siti Bainun turut memohon kebenaran untuk memanggil semula seorang saksi penting pendakwaan dalam kes melibatkan remaja sindrom Down, Bella, untuk disoal balas secara lebih lanjut.

“Laporan polis ini hanya diketahui oleh Siti Bainun pada 24 Mac lalu iaitu selepas perbicaraan kes Bella selesai,” ujar Haijan.

Sehubungan itu, Haijan memohon rayuan hari ini ditangguhkan bagi memberi peluang pihak pendakwaan membalas permohonan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa memaklumkan pihaknya baru menerima notis usul dan afidavit permohonan tersebut dan perlu membalasnya.

Menurut beliau, laporan polis yang dibuat oleh Ismanira juga sedang disiasat polis.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing kemudian menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan akhir Siti Bainun terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya Bella.

Peguam yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali, Mohd Haijan Omar bercakap kepada wartawan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 19 MEI 2025

Sementara itu di luar mahkamah, Haijan memaklumkan, pendengaran permohonan untuk memasukkan bukti baharu, akan didengar dahulu oleh panel bersidang.

“Laporan polis itu berkisar tentang dakwaan yang dibuat berkaitan saksi pendakwaan yang memberi keterangan dalam kes Bella.

“Dari segi prosedur, mahkamah akan dengar dahulu permohonan untuk memasukkan bukti baharu dan buat keputusan sama ada untuk membenar atau menolaknya.

“Jika permohonan dibenarkan, hakim akan memberikan arahan sama ada mahkamah sendiri akan mengambil keterangan tersebut melalui satu perbicaraan kecil.

“Atau menghantar semula kepada mahkamah perbicaraan untuk mengambil dan mendengar keterangan baharu itu dan (hakim bicara) memberikan pendapatnya kepada Mahkamah Rayuan,” ujar Haijan.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun, 32, didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun turut diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman yang dijalaninya di Penjara Kajang.

Siti Bainun disabitkan mengabai dan menganiaya mangsa di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu dan dia kemudiannya merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here