KUALA LUMPUR – Tiga artis bervokal mantap, Ayu Damit, Idayu dan Alyah bakal projek kolaborasi showcase istimewa pada Jun depan yang dinamakan An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah.
Mereka memilih Park Inn by Radisson Putrajaya untuk persembahan selama dua malam itu bermula 21 Jun depan bagi acara bertemakan Pesona Elegan yang dianjurkan Like Music Entertainment.
Tiket An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah dijual pada harga RM350 termasuk sesi bertemu artis, cenderahati dan hidangan koktel, manakala tiket RM250 menyediakan hidangan koktel.
Acara cetusan idea Pengarah Kreatif Roslen Fadzil itu boleh dikatakan langkah permulaan untuk tiga serangkai itu ‘berkepak’ ke hotel lain selepas aksi sulung yang sekali gus menjadi trademark mereka.
Bagi pemilik nama lengkap Noor Hasliah Abu Hasan, 44, idea berkolaborasi bersama dua sahabatnya itu antara lain mahu mengembalikan semula kemeriahan persembahan Minggu Setiausaha yang pernah menjadi kewajipan di setiap hotel suatu ketika dahulu.
Katanya, gabungan tersebut dibincangkan bersama Pengarah Kreatif, Roslen Fadzil yang merangka untuk berkolaborasi dengan lebih banyak hotel lagi selepas ini.
“Kolaborasi ini bukan sekadar berkongsi pentas bahkan berbahagi tanggungjawab, usaha serta kos secara bersama. Roslen bagi idea agar saya berkolaborasi dengan Idayu untuk penghasilan single serta showcase.
“Apabila bertiga, semuanya kita kongsi walau satu sen sekalipun dan keuntungan yang bakal diperolehi dibahagikan sama rata,” katanya.
Menurutnya, Idayu dan Ayu yang dikenali dengan vokal ampuh merupakan pilihan regu paling tepat apabila sanggup bersusah senang dengannya.
Sementara itu, Idayu mengakui berdebar apabila ‘dilamar’ Alyah namun tidak mampu menyembunyikan keterujaan memandangkan ini showcase besar pertama sejak bergelar penyanyi dua dekad lalu.
Ayu dapat pula menyifatkan gabungan persembahan bersama majlis koktail satu langkah bijak apabila penonton bukan hanya menikmati persembahan dan juadah enak malah dapat melaram. – MalaysiaGazette