Rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. 26 MEI 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan esok bagi mendengar rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain berkaitan ganti rugi nominal yang perlu dibayar oleh Public Bank Berhad berhubung isu kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka pada 2012.

Esok juga, panel hakim yang bersidang di Putrajaya akan mendengar rayuan bank berkenaan berhubung liabiliti yang mendapati bank itu melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun pelanggan.

Pada 9 Mei tahun lalu, mahkamah tertinggi negara membenarkan setiap pemohon mengemukakan dua persoalan undang-undang dalam rayuan itu.

Selain NFCorp, empat yang lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.

Pada prosiding lalu, keempat-empatnya diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam K.K. Chan mewakili Public Bank.

Pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan mengarahkan Public Bank membayar RM510,000 kepada NFCorp dan empat yang lain iaitu ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Anggota polis yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Foto SYADILA AMARI, 26 JULAI 2024 (GAMBAR FAIL)

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan Rabu ini (28 Mei) bagi status kes Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri akan dimaklumkan oleh pihak pendakwaan sama ada kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan atau sebarang perkembangan lain.

Ketika kes disebut pada 26 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan telah menerima dokumen lengkap termasuk laporan kimia dan laporan patologi serta memohon tarikh lanjut untuk izin memindahkan kes.

Anggota polis itu didakwa membunuh Nur Farah Kartini, 26, di antara 10 Julai, pukul 9 pagi dan 15 Julai 2024, pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor.

Isham Jalil.-ZAINAL, 12 JANUARI 2023. (GAMBAR FAIL)

Jumaat ini, Mahkamah Tinggi dijadual mendengar prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kerana menghina mahkamah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Tarikh itu diperoleh hasil semakan dalam laman web mahkamah.

Najib Razak
Isham Jalil memberi pandangan ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk ‘Konsep 1Malaysia Yang Inklusif’ pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.(GAMBAR FAIL)

Pada 4 Mac tahun lalu, Peguam Negara dibenar memulakan prosiding itu terhadap Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil berhubung kenyataannya berkaitan kedua-dua kes tersebut.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham telah mempersoal proses perbicaraan dan rayuan bekas Perdana Menteri dalam kes SRC International dan 1MDB menerusi satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast