Rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. 26 MEI 2025.(GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir Public Bank Bhd. untuk mengetepikan saman National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain berhubung liabiliti bahawa bank itu melanggar kontrak sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor pada 2012.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebaliknya membenarkan rayuan balas kelima-limanya untuk mengetepikan ganti rugi nominal RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara memberikan mereka hak menuntut ganti rugi teladan dan teruk daripada bank berkenaan.

Mahkamah yang mendengar rayuan penuh dan penghujahan berhubung taksiran ganti rugi kemudian menetapkan keputusan (ganti rugi) diumumkan pada 18 Jun ini.

Kelima-limanya merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2023 yang mengarahkan Public Bank membayar RM510,000 kepada mereka iaitu ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Hakim Datuk S. Nantha Balan yang mengetui panel tiga hakim berkata, terdapat salah faham yang serius terhadap bukti yang memerlukan campur tangan di peringkat rayuan.

Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan empat yang lain memfailkan saman terhadap Public Bank atas pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Selain NFCorp, pihak lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.

Perayu menyatakan, maklumat akaun bank yang bocor itu digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menguatkan dakwaan bahawa plaintif memanfaatkan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Kelima-limanya memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan saman tersebut, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast