Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tetap dengan pendirian untuk tidak mencampuri atau mengubah laporan audit yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Perdana Menteri berkata, meskipun telah diberi taklimat lebih awal, ketelusan itu wajib menjadi amalan tadbir urus yang baik dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan.

“Saya telah beritahu jemaah menteri, saya tidak menentukan apa kandungan laporan audit. Mereka maklumkan kepada saya, beberapa minggu lepas.

“Tapi, bukan untuk saya campur tangan atau ubah laporan tersebut. Hanya makluman sebelum laporan dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen untuk perbahasan umum. Inilah maksud sebenar tadbir urus dan ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, pendirian untuk tidak campurtangan dalam hal berkenaan merupakan komitmen kerajaan terhadap kebebasan institusi dan usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Tegasnya, keutamaan kerajaan dalam memartabatkan akauntabiliti dan integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemah melalui tindakan seperti memberi kebebasan penuh kepada institusi audit menjalankan tugas tanpa gangguan.

Pada masa sama beliau turut memuji Wan Suraya yang disifatkannya sebagai wanita besi kerana tetap teguh melaksanakan tugas walaupun terpaksa berdepan tekanan dan tindakan yang tidak popular.

“Sebab itu bagi saya, sangat penting untuk institusi audit diberi kuasa beroperasi secara bebas dan mengikuti jejak akauntabiliti ke mana sahaja ia membawa.

“Saya berdiri di sini sebagai Perdana Menteri menyatakan ia bukan sesuatu yang mudah. Kita ada Ketua Audit Negara yang tegas seperti ini. Namun, beliau hanya menjalankan tugas.

“Saya tahu tidak mudah, kadangkala tindakan berdasarkan laporan audit akan menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang berkepentingan, tapi inilah harga yang perlu dibayar demi memastikan sistem kita bersih,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast