Jabatan Perikanan Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mendapati sebanyak 2,000 kilogram ikan keli Afrika, dianggarkan sekitar 1,300 ekor dengan berat purata 1.5 kilogram seekor, telah dilepaskan ke dalam Tasik MAEPS, Serdang pada 29 Mei 2025 oleh pihak penganjur sempena Pertandingan Memancing anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam Program Showtech 2025.

Pelepasan itu dibuat tanpa sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor.

Oleh itu, DOF memandang serius sebarang pelepasan spesies ikan asing ke dalam perairan umum kerana tindakan ini boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem, mengancam spesies tempatan dan memberi kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara.

Sehubungan itu, usaha sedang dipertingkat bagi memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pelepasan ikan melalui penggubalan peraturan baharu serta hebahan berterusan melalui
media massa dan elektronik.

“DOF menyeru semua pihak termasuk penganjur acara, agensi kerajaan dan swasta agar sentiasa mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada Pejabat Perikanan Negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan ke perairan awam bagi mengelakkan sebarang implikasi negatif terhadap alam sekitar dan sumber asli negara,” katanya di sini hari ini.

Pihaknya dan MARDI, syarikat penganjur telah melakukan lawatan tapak dan mengenal pasti tasik tersebut mempunyai sistem kawalan air yang baik, termasuk sedimentation pond, jaring berdiameter dua inci di bahagian outlet, serta kawasan sambungan yang tertutup.

Kehadiran spesies pemangsa semulajadi seperti memerang dan biawak juga dilaporkan di kawasan tasik.

Sehubungan itu, beberapa langkah mitigasi telah dipersetujui bersama termasuk memasang jaring hapa tambahan, menyediakan tong pengumpulan ikan keli Afrika yang
ditangkap semasa pertandingan, menyediakan bahan hebahan kesedaran, serta melaksanakanaktiviti memancing secara aktif dan berterusan sepanjang program berlangsung.

Pihak MARDI pula akan memastikan pematuhan pemasangan jaring, membuka tasik kepada aktiviti memancing kawalan, serta menyelaraskan program inventori dan pelupusan ikan asing selepas tamat program.

DOF mengingatkan semua pihak agar sentiasa merujuk kepada Pejabat Perikanan Negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan, bagi memastikan tindakan yang diambil adalah selari dengan prinsip kelestarian alam dan tidak mendatangkan risiko kepada ekosistem tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast