KUALA LUMPUR – Tajaan MARA bukan bantuan kewangan semata-mata melainkan satu bentuk kepercayaan dan pelaburan intelektual jangka panjang oleh kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap sen yang dibelanjakan disertai harapan untuk melahirkan ilmuwan tempatan terutamanya dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, bioperubatan, kewangan dan sains alam sekitar.
“Mereka adalah critical mass of global minds yang akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Secara peribadi, saya berbangga dengan anak-anak Malaysia ini. Insya-Allah, dengan sokongan dan kepercayaan berterusan, kelak mereka akan menyumbang kepada negara sebagai pimpinan Kerajaan, ahli akademik, korporat, teknokrat, dan usahawan yang akan mencorak masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa bertemu dengan para pelajar Malaysia dari pelbagai university di London, United Kingdom hari ini.
“Sepertimana kebiasaan apabila saya melakukan kunjungan rasmi ke luar negara, saya akan memanfaatkan peluang ini untuk bertemu dengan para pelajar Malaysia dari pelbagai universiti.
“Lawatan ke United Kingdom kali ini, saya berpeluang bertemu para pelajar, khususnya yang menerima tajaan MARA dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Kensington, London,” ujarnya.
Perjumpaan itu merupakan momen yang sangat bermakna buat saya apabila dapat melihat sendiri wajah-wajah anak muda yang penuh semangat dan berjiwa besar.
Mereka, katanya, bukan sahaja membawa nama baik Malaysia di UK, malah sedang menggalas satu amanah besar untuk kemajuan diri, keluarga, masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette















