Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.6 peratus, sekaligus menyumbang kepada Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dengan pertumbuhan 2.7 peratus bagi April 2025

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merekodkan pertumbuhan 2.7 peratus bagi April 2025 melibatkan tiga sektor utama termasuk pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan daripada sektor pembuatan sebanyak 5.6 peratus.

“Sebaliknya, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing menyusut 6.3 peratus dan 1.6 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, industri berorientasikan eksport dalam sektor pembuatan terus meningkat sebanyak 6.4 peratus pada April 2025 selepas mencatatkan peningkatan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Prestasi ini didokong terutamanya pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 22.8 peratus.

“Malah ia semakin disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 11.1 peratus,” katanya.

Selain itu, katanya, industri berorientasikan eksport pula menunjukan tren menurun sebanyak 10.2 peratus berbanding Mac 2025 dengan 10.1 peratus.

“Begitu juga, industri berorientasikan domestik berkembang 3.9 peratus pada April 2025, selepas pertumbuhan 2.3 peratus direkodkan pada Mac 2025,” katanya.

Momentum positif ini disumbangkan oleh pembuatan produk prosesan makanan (8.2%); pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (5.0%) dan pembuatan logam asas (6.0%).

“Berbanding bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menaik 0.3 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, Uzir berkata, penyusutan 6.3 peratus itu didorong oleh pengurangan dalam pengeluaran bagi gas asli dan petroleum mentah serta kondensat, masing-masing sebanyak 10 peratus dan 0.7 peratus.

“Indeks perlombongan susut sebanyak 13.9 peratus, berbanding pertumbuhan 17.8 peratus yang direkodkan pada Mac 2025,” katanya.

Sementara itu indeks elektrik pula mencatatkan penurunan sebanyak 1.6 peratus pada April 2025, bertambah baik daripada penyusutan 2.2 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Berbanding Mac 2025, indeks elektrik menurun 3.1 peratus,” katanya.

Sementara itu, Uzir memberitahu, IPP bagi kebanyakan negara menunjukkan trend peningkatan pada April 2025 termasuk Taiwan dan Vietnam masing-masing 22.3 peratus dan 10.2 peratus.

Kenaikan yang sederhana juga dapat dilihat di negara-negara seperti China (6.1%), Singapura (5.9%), Korea Selatan (4.9%), Thailand (2.2%), Amerika Syarikat (1.5%) dan Jepun (0.7%) bagi April 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast