Mahkamah Tawau.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 remaja yang berdepan pertuduhan membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di Sabah, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan akan mengetahui nasib mereka pada 23 Julai depan.

Mahkamah Tinggi Tawau membuat keputusan itu bagi mendengar klarifikasi hujahan akhir pada tarikh akan datang.

Sepatutnya prosiding akhir berlangsung hari ini namun melalui satu notis, prosiding mahkamah ditangguhkan sehingga Julai depan.

Kes berprofil tinggi itu menjadi perhatian awam sejak Mac lalu kerana melibatkan seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang didakwa atas kesalahan membunuh rakan kolej mereka di bilik asrama antara pukul 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Kesemua tertuduh memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi sepanjang peringkat pembelaan yang berakhir pada 15 April setelah 18 saksi pembelaan dipanggil.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Difahamkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada media pihaknya telah memfailkan hujahan utama setebal 266 muka surat termasuk hujahan balas terhadap pembelaan.

Seramai lapan remaja diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili Abdul Ghani Zelika dan barisan peguam lantikan Mahkamah, termasuk Vivien Thien dan Mohamed Zairi Zainal Abidin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast