KUALA LUMPUR – Anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, iaitu Dr Muhammad Khalil kesal terhadap penyebaran gambar ayahnya yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) tanpa izin keluarga.
Jelasnya, gambar tersebut dimuat naik di Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad ketika melawat ayahnya.
Malah, beliau mendakwa lawatan berkenaan tidak menghormati privasi keluarga dan Prosedur Operasi Standard (SOP) lawatan di Unit Rawatan Jantung (CCU).
“Malah penyebaran gambar Tuan Guru tanpa izin keluarga yang dimuatnaik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam, amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika.
“Sikap tidak profesional ini sangat dikesali,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Hadi dilaporkan menjalani satu prosedur rawatan jantung di IJN, semalam.
Prosedur tersebut berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. -MalaysiaGazette
















