Anggota bomba membantu seorang lelaki turun dari rumahnya di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru untuk dihantar ke hospital malam tadi

JOHOR BAHRU – Bomba membantu seorang lelaki obesiti yang diserang asma dan tidak berdaya untuk turun dari rumahnya di Pangsapuri Jasa, Jalan Hang Jebat, Taman Mutiara Rini di sini untuk dihantar ke hospital malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Faisal Ismail berkata, panggilan kecemasan berhubung insiden membabitkan lelaki seberat 200 kilogram itu diterima pukul 10.49 malam.

“Sepasukan 10 anggota bersama tiga jentera iaitu saru jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan Hicom dikejarkan ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar terdapat seorang lelaki obesiti berusia 46 tahun yang sudah dua tahun terlantar di kediamannya di tingkat tiga.

“Anggota bomba mengambil tindakan membantu mengangkat mangsa menggunakan ‘skop stretcher’ sebelum menurunkannya dengan berhati-hati ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa menaiki jentera EMRS ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sink untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.21 pagi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast