SHAH ALAM – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperkenalkan Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) bagi memudahkan penyaluran aduan secara digital berkaitan isu-isu perpaduan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata platform tersebut dilihat akan dapat memperkukuh pengurusan maklumat dan respons terhadap aduan komuniti.

Dalam masa sama katanya, ia meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan dan keharmonian di peringkat akar umbi.

“Di sini orang awam boleh gunakan sistem ini, kena daftar di aplikasi ini dengan sistem ini untuk menyalurkan aduan berkaitan isu perpaduan yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Pusat Konvensyen MBSA.

Jelas beliau, platform itu unik berbanding saluran aduan lain melalui proses digital yang mesra pengguna, respons masa nyata serta perlindungan identiti pengadu.

Menurutnya, ciri-ciri berkenaan menjadikan RAKAN lebih inklusif, selamat dan berkesan dalam menyalurkan aduan serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak berkuasa berkaitan.

“RAKAN merupakan satu inisiatif bagi mendekatkan rakyat kepada kerajaan dalam memperkasa komuniti terhadap usaha menjaga keharmonian nasional. Inisiatif ini mampu membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan,”tambahnya.

Katanya, menerusi Dashboard Orang Awam, pengguna turut boleh mengakses statistik aduan mengikut negeri dan kategori, tertakluk kepada tahap akses yang ditetapkan.

“Ini membolehkan tindakan komuniti dilaksanakan secara lebih terarah dan berpandukan data semasa, sekali gus memperkukuh usaha kolektif dalam menyelesaikan isu-isu setempat secara berkesan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Aaron ketika ditanya berkata undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani isu perpaduan dalam negara.

Bahkan katanya, penggubalan akta baharu dikhuatiri akan mengakibatkan pertindihan penguatkuasaan.

“Undang-undang sedia ada cukup untuk menyelesaikan isu perpaduan, sejak 2020, ada Akta Hasutan juga semuanya ada di dalam itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga ada.

“Kalau kita buat (gubal)  lagi undang-undang baharu nanti akan bertindih,”katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast