KUALA LUMPUR – Seramai 47 rakyat Malaysia yang mengerjakan ibadah haji tanpa kebenaran rasmi (haji DIY) tidak dikenakan tindakan berat, namun ia wajar dijadikan pengajaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah terbabit tidak dikenakan denda besar mahupun disenarai hitam, berbeza dengan laporan awal yang mencetuskan kebimbangan.
“Jumlah jemaah kita yang terlibat sebenarnya tidak ramai berbanding negara-negara lain. Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga maklum bahawa majoriti jemaah Malaysia sangat berdisiplin.
“Kesalahan ini hanya melibatkan segelintir individu, dan saya mohon agar ia tidak mencemarkan imej keseluruhan jemaah Malaysia yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Batu Muda, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, tindakan segelintir jemaah itu boleh menjejaskan dua keistimewaan utama yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia iaitu laluan khas penerbangan ke Makkah serta pemberian awal kad Nusuk.
“Negara lain tidak dapat masuk ke Arafah atau Masjidil Haram jika tiada kad Nusuk dan boleh ditahan.
“Tetapi jemaah Malaysia mendapat kad itu lebih awal, sebelum berlepas ke Tanah Suci. Ini kelebihan yang besar.
“Saya bimbang, kalau peraturan terus dilanggar, kerajaan Arab Saudi mungkin akan tarik balik kemudahan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap pengalaman 47 jemaah yang berdepan pelbagai kesukaran akibat melanggar peraturan itu dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah hal ibadah haji.
“Mereka ini jadi testimoni hidup. Kasihan kepada mereka kerana, ditahan dan terpaksa berjalan di padang pasir tetapi akhirnya tidak dapat buat haji.
“Malahan duit pun habis. Pengalaman ini biarlah sampai kepada bakal-bakal jemaah yang lain,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mematuhi garis panduan dan saluran rasmi yang telah ditetapkan, demi kelancaran serta keselamatan ibadah haji.
Mangsa yang kebanyakkannya berusia lingkungan 60-an dan 70-an, termasuk pasangan suami isteri, meluahkan kekecewaan selepas menyedari niat menunaikan haji bertukar pengalaman mencemaskan angkara janji palsu dan kegagalan pihak ejen menyediakan laluan sah.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu bagi membolehkan pihak polis mengumpul keterangan dan menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















