KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dikhuatiri membuka `jalan’ kepada lebih banyak entiti untuk mencabar fatwa yang dkeluarkan terhadapnya oleh pihak berkuasa agama Islam negeri.
Peguam Yusfarizal Yussoff berkata, implikasi ke hadapan terhadap keputusan itu amat besar kerana selepas ini organisasi atau entiti tidak boleh lagi diisytiharkan melanggar hukum syarak kerana fatwa hanya terpakai kepada individu.
Ujar beliau, kegusaran itu berasas kerana ia bakal membuka `floodgate’ kepada entiti yang melanggar fatwa atau diisytiharkan sesat dan menyeleweng untuk mencabar fatwa melalui tindakan sivil di mahkamah.
Tahun lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan rangkaiannya difatwa haram.
Ujarnya, banyak pihak bertanya kepada beliau mengenai GISBH dan kumpulan-kumpulan yang dipernah dikeluarkan fatwa sebelum ini.
“Fatwa yang menyatakan sesebuah entiti sesat, kini tidak boleh lagi diguna pakai kerana selaku sebuah organisasi, syarikat atau pertubuhan, ia tidak mempunyai kapasiti untuk memeluk Islam dan mengamalkan ajaran agama.
“Fatwa hanya terkesan kepada individu selaku orang yang masih hidup yang mana undang-undang syariah terpakai ke atas mereka.
“Apa yang merisaukan, kesan ke hadapan selepas ini adalah mana-mana entiti boleh mencabar fatwa yang dikeluarkan terhadapnya di mahkamah sivil,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Yusfarizal diminta mengulas implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membenarkan rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa yang mengisytiharkannya menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau merupakan peguam yang berhujah mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa pihak berkuasa agama Selangor pada prosiding 2 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara yang lebih dikhuatiri adalah ajaran-ajaran sesat akan bernaung di bawah syarikat.
“Mereka akan tubuhkan syarikat dan menjalankan aktiviti. Pihak berkuasa agama negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa dan kita bimbang ruang yang ada akan dimanipulasi,” ujarnya.
Yusfarizal turut membangkitkan kekhuatirannya terhadap keputusan semalam bahawa entiti berkenaan tidak terhalang untuk memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil selagi ia tidak mencampuri kandungan fatwa berkaitan hukum syarak.
Sebagai contoh, ujar beliau, selepas ini akan ada pihak yang mempertikai fatwa berkaitan larangan merokok, amalan yoga atau pengesahan halal haram makanan.
Katanya, ini bermakna, entiti kini boleh mencabar fatwa di mahkamah sivil atas alasan ia melampaui bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam senarai negeri.
Ujar beliau, keputusan semalam menjadi nas undang-undang (landmark) kerana ia melibatkan fatwa terhadap entiti walhal kes yang menjadi rujukan di mahkamah sebelum ini seperti Sulaiman Takrib melawan Majlis Agama Islam Terengganu, melibatkan cabaran undang-undang terhadap kesalahan dalam enakmen yang melanggar perintah agama.
“Kes Sulaiman Takrib tidak mencabar fatwa secara langsung, sebaliknya ia mencabar seksyen dalam enakmen pentadbiran undang-undang syariah negeri Terengganu. Ia berbeza dengan SIS Forum yang mencabar fatwa secara langsung,” jelas beliau.
Menurut beliau, keputusan itu memberi kesan bukan sahaja kepada ruang lingkup jawatan kuasa fatwa di Selangor, malah di negeri-negeri kerana ia sudah tidak boleh mengeluarkan fatwa ke atas organisasi, syarikat ataupun persatuan.
Semalam, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Sebaliknya, Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa, kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat.
SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng. – MalaysiaGazette
















