Mohd Hafizuddeain (kanan) menyerahkan cenderamata kepada salah seorang peserta pada Majlis Penutup Pertandingan Golf Amal KTP Tahun 2024/2025 di Seri Kembangan di sini, hari ini.

SERI KEMBANGAN – Kutipan bagi Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada tahun ini diyakini dapat melebihi sasaran sebanyak RM3 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, sumbangan yang diterima itu akan disalurkan sepenuhnya kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga masing-masing.

Katanya, ia adalah untuk menampung keperluan bantuan tertentu seperti pembelian lampin pakai buang dewasa, keperluan pesakit diebetis, susu minuman tambahan dan lain-lain bantuan mendesak.

“Saya difahamkan terdapat banyak lagi aktiviti menarik yang dirancang di bawah Kempen Tabung Pahlawan oleh pihak JHEV (Jabatan Hal Ehwal Veteran). Bahkan beberapa aktiviti itu turut dianjurkan dengan kerjasama persatuan-persatuan vetera di peringkat komuniti.

“Saya menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan dan menyertai program-program KTP yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohd Hafizuddeain Jantan mewakili beliau pada Majlis Penutup Pertandingan Golf Amal KTP Tahun 2024/2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berasa amat bangga dan terharu dengan sokongan berpanjangan semjua rakan startegik dan penyumbang terhadap kejayaan kempen yang diadakan.

“Jadikan Kempen Tabung Pahlawan ini bukan hanya sekadar acara tahunan tetapi sebagai satu gerakan nasioal yang konsisten demi kebajikan perwira negara kita,” ujarnya.

KTP telah diamanahkan pelaksanaannya kepada JHEV ATM sebagai sekretariat rasmi dan Penganjuran Pertandingan Golf Amal adalah antara acara yang telah berlangsung dengan jayanya di bawah kempen ini.

Acara tersebut menerima sambutan hangat daripada pelbagai sektor korporat, profesional dan amatur, penjawat awam, NGO serta komuniti setempat yang bersama-sama memeriahkan pertandingan.

Pertandingan ini bukan sekadar satu acara sukan, tetapi merupakan manifestasi penghargaan dan solidariti masyarakat terhadap pengorbanan para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast