Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 tempat khas disediakan kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di universiti awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas tamat pengajian tingkatan enam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tawaran ini merupakan satu daripada langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar cemerlang tingkatan enam yang berminat menjadi pendidik.

“Yang 300 itu adalah tawaran untuk pelajar STPM melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di universiti dan di IPG,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STPM, MUET dan SKBMW, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, sebanyak 500 pelajar tingkatan enam daripada keluarga B40 turut menerima dermasiswa hasil kerjasama antara KPM dan syarikat Farm Fresh Berhad.

“Jadi jangan risau, kita bantu semua insya-Allah,” jelasnya.

Inisiatif julung kali itu bertujuan memberi sokongan kewangan dan motivasi kepada pelajar prauniversiti agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin.

Fadhlina turut memaklumkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menyertai projek rintis penempatan pelajar tingkatan enam di kampus, selepas pelaksanaannya bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Insya-Allah UPSI tidak lama lagi. Sekarang ini kita sudah mulakan dengan UKM dan USM. Mereka (pelajar tingkatan enam) tinggal di kampus, guna fasiliti kampus, makmal, teknologi, serta menyertai aktiviti pelajar universiti.

“Mereka tetap ikuti peperiksaan STPM seperti biasa, cuma pengalaman pembelajaran mereka jauh lebih luas dan terdedah kepada suasana universiti sejak awal,” tambahnya.

Fadhlina menegaskan projek rintis itu bukan bentuk penswastaan atau penjenamaan semula tingkatan enam, sebaliknya langkah memperkasa pengalaman pembelajaran dan membina kesiapsiagaan pelajar ke alam pengajian tinggi.

Beliau juga menyatakan  KPM sentiasa giat memperkukuh sistem tingkatan enam dengan kerjasama strategik Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) serta rakan industri.

“Sebagai contoh, Farm Fresh menyediakan dermasiswa kepada pelajar B40, manakala MPM pula melaksanakan program CSR untuk meningkatkan kualiti pendidikan guru dan murid,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast