Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mendakwa kenyataan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berhubung proses pengambilan pelajar program Ijazah Perubatan (MBBS) menerusi Saluran Terbuka (SATU) sebagai “mengelirukan”.

Presiden MCA itu menyifatkan, kenyataan tersebut langsung tidak menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan, malah menimbulkan lebih banyak tanda tanya serta kebimbangan awam terhadap ketelusan proses pengambilan pelajar di universiti awam.

“Percanggahan paling ketara terletak pada persoalan mudah ini: bagaimana seorang pelajar cemerlang boleh dianggap tidak layak melalui UPU walaupun telah berkali-kali merayu, tetapi kemudian ditawarkan tempat melalui SATU dengan bayaran RM300,000?” soal beliau dalam kenyataan media hari ini.

Kelmarin, Noor Azuan dalam kenyataannya menepis dakwaan Ka Siong apabila berkata, sistem SATU adalah pintu tambahan yang dirangka bagi menampung permintaan tinggi terhadap kursus berprestij seperti perubatan, farmasi dan pergigian tanpa menjejaskan kuota pelajar di bawah sistem utama UPU.

Katanya, ia tidak menutup laluan rakyat, sebaliknya memperluas peluang dan mengukuhkan sistem.

Noor Azuan turut mempertahankan bahawa yuran SATU hanya dikenakan kepada pelajar saluran khas dan subsidi untuk pelajar UPU termasuk B40 dan M40 masih kekal sehingga 95 peratus dengan yuran program perubatan dalam saluran UPU sekitar RM15,000 sahaja.

Mengulas lanjut Ka Siong turut mendedahkan bahawa, kes tersebut bukan kes terpencil, sebaliknya MCA memiliki bukti beberapa kes lain yang menunjukkan corak yang sama iaitu pelajar cemerlang tidak ditawarkan tempat melalui UPU sebaliknya, menerima tawaran menerusi SATU yang mengenakan yuran tinggi.

Menurut beliau, situasi itu jelas menyangkal dakwaan pihak UM bahawa pengambilan pelajar adalah sepenuhnya berdasarkan meritokrasi dan prosedur yang ditetapkan.

“Jika pelajar itu benar-benar memenuhi syarat akademik, mengapa beliau ditolak melalui UPU tetapi, ditawarkan tempat melalui SATU seandainya mampu membayar yuran RM300,000?

“Ketiadaan kriteria pemilihan yang jelas atau telus hanya menambah kebimbangan terhadap sistem yang dilihat tidak adil dan tidak konsisten,” katanya lagi.

Jelasnya, MCA tidak pernah mempertikaikan kewujudan dua saluran pengambilan, tetapi menolak wujudnya pengecualian secara struktur yang berlaku terhadap pelajar cemerlang dari golongan B40 dan M40.

“Sistem SATU mungkin digambarkan sebagai ‘peluang tambahan’, tetapi hakikatnya ia hanya terbuka kepada mereka yang mampu membayar. Ini menjadikan kemampuan kewangan sebagai pengukur kelayakan dan bukan lagi merit akademik,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan Naib Canselor yang menolak data dikemukakan MCA tanpa sebarang angka rasmi, pecahan atau perbandingan mengikut jenis kelayakan adalah amat mengecewakan.

wee ka siong
Wee Ka Siong

Jika benar pelajar STPM tidak dipinggirkan, katanya, pihak universiti perlu tampil mengemukakan data pengambilan mengikut saluran sejak tahun 2018.

“Malah, rujukan kepada model antarabangsa seperti UCAS atau sistem universiti Australia juga mengelirukan kerana model-model tersebut menyediakan akses pembiayaan awam dan data pengambilan yang telus. Model SATU tidak menawarkan sebarang perlindungan sedemikian,” ujar beliau.

Dalam kenyataan sama, Ka Siong turut mencabar Noor Azuan untuk mengemukakan data rasmi berhubung jumlah pelajar STPM yang diterima masuk ke program MBBS melalui UPU dan SATU sejak sesi akademik 2018.

Katanya, sama ada syarat akademik bagi kemasukan melalui kedua-dua saluran adalah benar-benar setara dan berasaskan merit atau jumlah pelajar yang ditolak melalui UPU tetapi ditawarkan tempat melalui SATU.

MCA tegasnya, turut menggesa agar pengambilan pelajar MBBS melalui saluran SATU bagi sesi 2025/2026 digantung serta-merta, sementara kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat keseluruhan sistem pengambilan pelajar ke universiti awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. Isunya berapa ramai Dr. yg sanggup nak sambung belajar terutamanya etnik Cina dan jadi pensyarah perubatan berbanding bekerja di Hosiptal Swasta? Yg kedua, berapa ramai pelajar cemerlang setiap tahun dan berapa pula kapasiti yg termampu dikendalikan oleh Fakulti Perubatan? Nak sumbat semua kaaa mcm sardin??? Yg tu ko tak nak fikir? Ko tak buat pun kajian berapa ramai etnik Cina yg dah grad MBBS sanggup kerja kerajaan terutama menjadi pensyarah perubatan di IPTA?

    • Orang pertikai tentang pelajar stpm yg dianakririkan. Awak ni main usu perkauman pula.

    • jawapan nya tiada. kebanyakan bila dah pakar dan habis kontrak terus cabut gi swasta. payah nak jumpa doktor pakar bukan melayu bertahan lama kat hospital kerajaan.

  2. Dr Wee, jangan buat buat lupa dalam saluran UPU masih ada sistem quota dan mudah penuh. Alternative ialah saluran SATU. Kita tahu Dr Wee nak provok sistem quota sedia ada. Sudah lama dalam government sebelum ini masih buat buat tak faham.

Comments are closed.