Gambar hiasan rogol, dera
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ingin memenuhi kemahuan teman lelaki dipercayai menjadi motif seorang ibu membenarkan anak perempuannya dirogol kekasihnya, pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, perkara itu diperolehi hasil siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Semakan awal mendapati, motif kejadian adalah ibu mangsa ingin memenuhi kemahuan teman lelaki dan mangsa juga masih bersekolah.

“Bagi rakaman keterangan remaja berusia 13 tahun itu dijadualkan esok (1 Julai) di Pusat Temu Duga Kana-Kanak (CIC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

Tambah beliau, sehingga kini seramai lima keterangan telah diambil termasuk suspek lelaki ibu mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga emas bersama teman wanitanya diberkas pada Jumaat disyaki merogol remaja berusia 13 tahun yang juga anak wanita itu.

Mohd Azam dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa pernah dirogol pada tahun lalu dan kejadian itu disaksikan ibunya sendiri.

“Mangsa ketakutan sebelum bertindak keluar rumah setelah mendapati satu perbualan antara ibu dan teman lelaki ibunya untuk berjumpa di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Perbualan tersebut menunjukkan niat teman lelaki ibunya berusia mahu merogol dan telah dibenarkan oleh ibu mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, wanita berusia 36 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dan lelaki berumur 61 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.

Katanya, kedua-dua suspek kini reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast