LONDON – United Kingdom (UK) secara senyap-senyap telah membenarkan sekurang-kurangnya tiga pesaat tentera Israel yang terlibat dalam pengeboman Gaza mendarat di negara itu.
Data penerbangan mendedahkan pesawat tanker, KC-707, mendarat sebanyak sembilan kali di Britain ketika melakukan penerbangan antara Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Lapan penerbangan berada di UK untuk tempoh antara sejam hingga tiga jam sebelum meneruskan penerbangan, yang mana ia mencadangkan kemungkinan pelaksanaan operasi pengisian semula bahan bakar di UK.
Walaupun pangkalan data penjejakan penerbangan komersial menyembunyikan pesawat tersebut, Drop Site News masih dapat mengenal pasti pesawat terbabit dengan menganalisis data tresponden penerbangan yang tidak ditapis, mendedahkan pergerakan pesawat walaupun terdapat usaha untuk menyorokkannya.
Semua pesawat tersebut mendarat di Pengkalan Udara Brize Norton di Oxfordshire dengan salah sebuah pesawat Israel aktif dalam operasi di Gaza dalam tempoh yang membabitkan dua insiden jenayah perang, seperti pengeboman kompleks kediaman di Beit Lahiya pada Oktober 2024 mengakibatkan 73 orang terbunuh.
Pada minggu lalu, dua aktitivis kumpulan Palestine Action memasuki Pengkalan Udara Brize Norton dan merosakkan dua pesawat tentera yang mana ia merupakan sebahagian daripada bantahan terhadap penglibatan UK yang menyediakan kemudahan kepada Israel menyerang Gaza.
Dua aktivis itu menyasarkan dua pesawat Voyager dengan menyimbah cat berwarna merah ke enjin selain merosakkan komponen penting.
Baru-baru ini bekas pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn yang kini merupakan Ahli Parlimen bebas, untuk Islington North, memperkenalkan rang undang-undang yang menggesa siasatan bebas dilakukan terhadap peranan Britain dalam menyokong perang Israel di Gaza.
“Jet F-35 Israel mengebom hospital dan orang awam di Gaza,” kata Corbyn kepada Drop Site News dan menegaskan, adalah tidak wajar Britain membenarkan mana-mana pesawat perang Israel mengisi semula minyak di pangkalan udara Britain selain melibatkan kerajaan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang paling teruk. – Agensi
















