Mayat mangsa ditemukan pagi tadi.

KUANTAN – Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penyelaman di kawasan Port 2, di sini ditemukan maut pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan,  Superintendan Mohd Adoi Mat Daud, mayat mangsa ditemukan di kawasan tebing berbatu, kira-kira 300 meter dari lokasi asal kejadian.

“Mangsa yang berusia 30 tahun merupakan salah seorang daripada empat anggota penyelam yang menjalani latihan bersama pasukan khas pada 3 Julai lepas.

“Kehilangan mangsa disedari apabila hanya tiga penyelam timbul ke permukaan selepas sesi latihan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Adli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.19 petang hari sama.

Susulan laporan itu, katanya pihak polis segera ke lokasi kejadian di mana operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan di permukaan air dengan kerjasama Pasukan Gerak Khas (GGK).

“Turut terlibat dalam SAR adalah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Marin, Polis Bantuan Pelabuhan dan Pihak berkuasa Pelabuhan Kuantan,” katanya.

Jelasnya, mayat mangsa hanya ditemukan pada SAR hari ke-tiga pada pukul 10 pagi dan dalam keadaan lengkap berpakaian, bersama peralatan menyelamnya.

Beliau memaklumkan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mohd Adli dalam pada itu menasihati orang ramai agar berhenti menyebarluas maklumat dan gambar berkaitan insiden terbabit di media sosial bagi menghormati sensitiviti ahli keluarga mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast