KUALA LUMPUR – Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada jam 6 petang ini sempena siri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN yang sedang berlangsung di ibu negara ketika ini.
Menerusi jadual rasmi, kedua-dua mereka akan bertemu pada jam 6 petang waktu tempatan, di sini.
Manakala jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova turut mengesahkan kepada agensi berita RIA Novosti, pertemuan dua hala itu sedang dalam proses rundingan.
Lavrov yang tiba pagi tadi akan menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersama Rusia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15, dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32.
Difahamkan juga melalui laporan media Rusia, rangka lawatan Lavrov meliputi perbincangan pelbagai isu kerjasama dengan ASEAN, khususnya dalam bidang politik dan keselamatan, perdagangan dan ekonomi, serta sosial dan kebudayaan.
Begitu juga dengan Rubio yang hadir ke Malaysia buat kali pertama akan mewakili AS bagi mesyuarat EAS dan forum ARF, selain dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia sepanjang lawatan ini.
Selain Lavrov dan Rubio, Menteri Luar China Wang Yi turut berada di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat ASEAN, lantas menyaksikan tiga kuasa besar berkumpul di ibu negara pada masa ini. – MalaysiaGazette
















