Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada majlis Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-13 dan Majlis Makan Malam Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewujudkan satu majlis konsultasi khusus di bawah kementerian bagi menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, termasuk alumni pertubuhan belia seperti Alumni 4B Malaysia akan diteliti.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengalaman, kepakaran dan jaringan bekas pemimpin pertubuhan belia terus dimanfaatkan secara tersusun dan berstruktur dalam pembangunan dasar negara.

“Ya, itu masih di peringkat perbualan ataupun idea yang kita cuba dapatkan.

“Kita berpendapat bahawa pengalaman dan pandangan oleh mereka yang pernah pimpin persatuan-persatuan belia sebelum ini sebenarnya sangat baik dan sangat berguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-13 dan Majlis Makan Malam Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B), malam tadi.

Menurutnya, majlis konsultasi itu bukan sahaja berperanan sebagai platform kerjasama, malah boleh menjadi badan penasihat kepada kerajaan dan kementerian dalam merangka polisi berkaitan belia.

“Apa salahnya kalau kita cari satu badan formal, ataupun tidaklah terlalu formal, tapi sekurang-kurangnya berstruktur.

“Ini supaya kita dapat manfaatkan pengalaman dan jaringan pertubuhan-pertubuhan ini yang masih wujud dan aktif,” ujarnya.

Adam berkata, cadangan itu timbul susulan ketiadaan saluran tetap bagi NGO belia yang sebelum ini berada di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan, namun kini tidak lagi bernaung secara rasmi di bawah mana-mana kementerian.

“Seperti yang disebut Datuk Syed Azmi tadi, jika pertubuhan belia yang masih aktif di bawah kementerian dapat terus menerima bimbingan dan dana serta tertakluk kepada akta dan peraturan, maka bagaimana pula dengan NGO yang pernah bernaung di bawah KBS tetapi kini bebas?

“Kita tidak kata NGO mesti wajib berada di bawah kementerian. Tapi bagi pertubuhan seperti Alumni 4B yang ada sejarah dan pengalaman rapat dengan KBS, kenapa tidak wujudkan satu bentuk kerjasama semula melalui majlis konsultasi ini?”  katanya.

Tambah beliau, struktur itu juga boleh membantu menyatukan suara NGO belia yang berpengalaman agar terus relevan dan memainkan peranan lebih bermakna kepada pembangunan negara.

“Kita boleh bincangkan satu bentuk ruang konsultasi untuk mereka mainkan peranan dalam menasihati kementerian dan kerajaan itu sendiri,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast