Oleh: Dr. Mohammed Rasheedan Ellin
ISU penularan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dipandang ringan. Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni baru-baru ini menyuarakan kegusaran terhadap peningkatan ketara kes jangkitan HIV yang melibatkan pelajar IPT. Situasi ini mencerminkan satu cabaran yang tidak hanya melibatkan aspek kesihatan fizikal, malah turut merangkumi dimensi psikososial, spiritual, keselamatan kampus, dan kesejahteraan menyeluruh pelajar.
Maka, pendekatan bersifat menyeluruh amat diperlukan, bukan sekadar melalui intervensi perubatan semata-mata, tetapi menerusi pembinaan sistem sokongan kampus yang kukuh, beretika, rahmah dan saling melengkapi. Setiap lapisan dalam komuniti universiti mempunyai peranan masing-masing.
Pensyarah, sebagai individu yang rapat dengan pelajar dalam proses akademik harian, boleh menyelitkan mesej berkaitan kesedaran HIV, bahaya hubungan bebas dan kerosakan maruah melalui pendekatan pendidikan yang strategik. Penasihat akademik pula menjadi barisan hadapan dalam mengesan tekanan dalaman pelajar, khususnya yang sedang bergelut dengan kekeliruan identiti, gangguan seksual atau kecenderungan tingkah laku berisiko.
Pentadbiran universiti termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar pula bertanggungjawab menyusun dasar keselamatan, pemulihan dan pendidikan pencegahan yang berpaksikan nilai, serta membina jalinan kukuh dengan agensi kesihatan untuk pengesanan dan intervensi awal. Penasihat akademik dan pensyarah di kampus juga harus peka terhadap fenomena ‘grooming’ pelajar, eksploitasi seksual dan aktiviti seksual yang berlaku secara tersembunyi. Tindakan pencegahan, pemantauan dan pendidikan dalaman kepada pihak keselamatan harus menjadi sebahagian daripada pelan intervensi universiti.
Pentadbir hal ehwal agama dan pusat Islam kampus boleh mengambil peluang untuk menyampaikan mesej agama dalam khutbah dan ceramah, menekankan aspek penjagaan maruah, dosa pahala, pengurusan nafsu dan pengharapan kepada taubat. Semua pendekatan ini perlu dilakukan secara berhikmah dan tidak menghukum, agar pelajar
yang sedang bergelut dengan kesilapan diberi ruang untuk berubah dan memperbaiki diri.
Namun, dalam menangani isu ini, terdapat keperluan untuk menegaskan bahawa pendekatan seperti pengedaran kondom dan promosi penggunaan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) kepada pelajar, khususnya pelajar Muslim, adalah bertentangan dengan prinsip agama Islam dan fatwa semasa. Agihan kondom secara terbuka atas nama pencegahan hanya akan menghantar mesej yang salah, seolah-olah menghalalkan seks luar nikah dan hubungan sejenis, sedangkan kedua-duanya jelas dilarang dalam Islam.
PrEP, walaupun terbukti dari sudut sains mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV, tidak sepatutnya dijadikan strategi utama dalam kalangan pelajar Muslim kerana ia membawa implikasi moral dan akidah yang besar. Fatwa semasa juga menyatakan PrEP tidak boleh disebarkan secara terbuka kepada pasangan yang tidak bernikah secara sah kerana ia dianggap menggalakkan tingkah laku yang bercanggah dengan syariat.
Lebih membimbangkan, pemberian alat pencegahan seperti kondom dan PrEP ini tidak mampu menyelesaikan akar masalah sebenar iaitu kekeliruan nilai, kelemahan pengurusan nafsu, dan kerapuhan jati diri pelajar. Malah, pendekatan ini berisiko menormalisasikan seks pranikah dan seks sesama jenis, serta membuka ruang kepada peningkatan jangkitan penyakit kelamin lain seperti gonorea, sifilis dan herpes. Bila pelajar terlalu larut dalam gaya hidup berasaskan nafsu dan kepuasan seksual tanpa batas, mereka akhirnya kehilangan arah, hilang fokus akademik dan rosak dari segi mental, moral serta spiritual.
Hal ini amat bertentangan dengan misi institusi pendidikan tinggi sebagai tempat melahirkan generasi pemimpin negara, tenaga profesional dan intelektual yang berakhlak, sihat dan produktif. Sekiranya gejala seksual berisiko terus dibiarkan atas nama ‘kesihatan awam’ tanpa imbangan nilai agama dan moral, maka keruntuhan sosial akan menjadi lebih parah. Kita bukan hanya akan kehilangan mahasiswa yang cemerlang, malah bakal kehilangan sebuah generasi yang seharusnya menjadi tulang belakang pembangunan negara bangsa.
Justeru itu, pendekatan menangani HIV di IPT tidak boleh bersifat reaktif dan terpisah-pisah. Ia perlu disusun melalui satu pasukan petugas khas di peringkat universiti yang menghimpunkan peranan pelbagai pihak seperti akademik, kesihatan, keselamatan, agama dan psikologi. Hanya melalui sinergi pelbagai komponen, serta pemerkasaan nilai iman, pengurusan diri dan kerahsiaan profesional, universiti dapat menjadi medan pemulihan dan pencegahan yang sebenar bukan medan pembiaran.

Penulis dari Jabatan Kejururawatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
















