KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menolak pencalonan Nick Adams yang kini dicalonkan sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia oleh Presiden Donald Trump.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa calon tersebut seorang penghasut sayap kanan yang dikenali dan provokator partisan.
Katanya, Amerika Syarikat berhak mencalonkan sesiapa sahaja sebagai dutanya ke Malaysia, tetapi kuasa muktamad untuk menerima atau menolak terletak pada Malaysia, bukan Washington.
Jelas beliau perkara tidak boleh dipandang ringan, ia merupakan prinsip asas diplomasi antarabangsa yang termaktub dalam Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961). Artikel 4 konvensyen itu memberi kuasa penuh kepada negara penerima untuk menerima atau menolak mana-mana calon duta tanpa perlu memberikan alasan.
“Mengapa ini penting? Kerana jawatan duta bukan semata-mata simbolik. Seorang duta adalah wajah, suara, dan cerminan sikap negaranya di negara tuan rumah. Mereka bertanggungjawab membina kepercayaan, mengukuhkan kerjasama, dan mewakili nilai tertinggi negara mereka.
“Nick Adams bukanlah peribadi yang mencerminkan nilai-nilai ini. Beliau bukan diplomat profesional mahupun negarawan. Sebaliknya, beliau adalah seorang provokator politik, terkenal dengan retorik yang memecahbelahkan dan sensasi media kabel Amerika—yang tidak menyumbang apa-apa kepada hubungan diplomatik Malaysia–AS,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook.
Bahkan, dakwa Zaid, pencalonan beliau bukan satu isyarat muhibah, sebaliknya satu penghinaan.
Tegasnya, sebagai sebuah negara merdeka pascakolonial, Malaysia tidak harus dijadikan tempat buangan untuk tokoh politik ekstrem dan pengaruh partisan luar.
“Menolak calon seperti Adams tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia–AS. Malah, ia akan mengukuhkannya. Ia menunjukkan Malaysia mementingkan prinsip dan integriti, dan menuntut agar rakan diplomatiknya memberikan penghormatan yang setara,” tambahnya.
Oleh itu, Zaid berkata, kerajaan mesti mempertahankan maruah negara dan menjunjung norma antarabangsa.
“Jika perlu berjalan jauh dalam hal ini, maka kita harus berani melakukannya,” tambah beliau lagi. – MalaysiaGazette
















